Showing posts with label Puisi Penyair Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Puisi Penyair Malaysia. Show all posts

Tuesday, April 1, 2014

Puisi Damai Dalam Pasrah "Tragedi MH370" | Hajah Juriyati Mat Jalil

0 komentar

Damai Dalam Pasrah
Hajah Juriyati Mat Jalil

Entah Mengapa
Semangat Ku Di Sapa Tempias Air Mata
Pada Sebuah Kehilangan
Yang Tiada Berpangkalan
Mencari Jejak Yang Tiada Berbekas
Mencari Suara Yang Tiada Getarnya
Mencari Di Kau Hilang Di Mana

Dalam Pasrah Ada Redha
Namun Harapan Masih Kugenggam
Biarpun Jauh Tak Mampu Kugapai
Biarpun Lelah Bersama Sendu
Yakin Pasti Tetap Bersamaku

Berbekal Doa Dalam Kemarau Duka
Walau Tipis Tak Mudah Robeknya
Ku Layar Ia Pada Bahtera Rindu
Moga Ketemu Pada Janji Yang Satu
Dalam Sabar Yang Tiada Berbatas
Dalam Nyata Merungkai Segala
Moga Semangat Ku Kembali Bersatu
Mengakhiri Jelajah Pencarian
Di Persada Dunia Ciptaan Mu Tuhan

Segalanya Kehendak Mu Jua
Dalam Rela Doa Ku Tak Putus
Moga Yang Gelap Bertukar Terang
Seperti Berganti Malam Dan Siang
Berpaksi Bulan Dan Juga Mentari
Damaikan Hati
Pada Pencarian Ini
Damaikan Hati
Pada Pertemuan Pasti

Maret 2014


Sebuah Sajak hasil nukilan Hajah Juriyati Mat Jalil atas kehilangan pesawat MH370
dan telah kami videokan untuk tatapan penonton..
Inilah sahaja hasil yang dapat kami beri selain sentiasa berdoa...




Thursday, March 27, 2014

Puisi Jamung Merdeka | Razali Mohd Yussof

0 komentar

JAMUNG MERDEKA
Razali Mohd Yussof

Mari Kita Imbau
Selembar Demi Selembar
Episod Air Mata Tanah Air.

Telah Lima Musim Kita Meneguk Usia
Dari Pelabuhan Kelam Ke Tanjung Sinar
Dari Jerbu Udara Ke Langit Jernih
Dari Rimba Bukit Ke Lebuh Raya
Juragan Datang Dan Pergi;
Di Mana Sebenarnya Kita Berdiri, Di Bumi Sendiri?

Telah Lahir Putera Bangsawan
Mengibar Jalur Kemerdekaan
Telah Lahir Wira Berdarah Rakyat
Menabur Baja Di Ladang Pembangunan
Telah Lahir Semangat Pejuang
Memimpin Rakyat Ke arah Perpaduan
Telah Lahir Arkitek Bangsa
Memercikkan Kegemilangan Malaysia Ke Mata Dunia.

Hari Ini Menjelma Sudah Jiwa Insan Hadhari
Dan Dari Kelopak Matanya
Mengalir Kali Damai Yang Abadi
Tetesannnya Yang Bening
Meresapi Hasanah Dunia Dan Akhirat

Rintik-Rintik Embun Tergenang Di Halaman
Angin Sepoi-Sepoi Bahasa Membisik Ke Pelosok Desa
Berapa Harga Kita Sebenarnya, Di Bumi Sendiri?

Mari Kita Nyalakan Lilin Dari Jamung Puisi
Menyemarakkan Tembang Bahtera Merdeka
Biar Lirik Dan Irama Kita Senada
Alunkan Pada Tanah Pusaka Ini
Agar Tidak Dicemari Rengekan Biadap Hak Ketuanan
Tidak Dibolosi Tusukan Curang Anak Dagang.

Tahun Beredar Dekad Berlalu
Dan Kita Semakin Di Mamah Usia
Pergeseran, Memusnahkan Wawasan Anak Cucu Kita;
Seteguh Apa Sebenarnya Perpaduan Kita, Di Bumi Sendiri?

Mari Kita Bebatkan Luka Di Muka
Mari Kita Bebatkan Luka Di Dada
Mari Kita Bebatkan Luka Di Sukma
Biar Darah Sengketa Mengalir Sejahtera
Biar Darah Cinta Meresap Ke Tulang Bangsa
Biar Darah Silaturahim Bertunjang Ke Jantung Kita.

Nukilan:

Razali Mohd Yussof
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Menjunjung janji Menyanjung Budi | Mahaya Mohd Yassin

0 komentar

MENJUNJUNG JANJI MENYANJUNG BUDI
Mahaya Mohd Yassin

Inilah Warisan Moyang Yang Gah Payah Menerjah Sebelum Pasrah
Dalam Gelombang Tsunami Yang Menggegar Jatidiri
Tekad Dan Hasrat Tidak Mengenal Gugat
Kerana Tunjang Akarnya Kental, Sejati, Teguh Bersemangat
Dan Kejap Memasak Bumi Keramat.

Inilah Pusaka Peribumi Yang Kemilau Dijagat Raya
Dalam Sinar Kerdip Bintang Cakerawala Watan
Penuh Azam Dan Keyakinan Yang Tepu Dan Padu
Pohon Peribadinya Menulang Sekukuh Paksi
Mantap Menjunjung Janji, Telus Menyanjung Budi.

Sedari Dahulu Jejak Diselusur Mewangi Ladang Perkasihan Sejati
Salasilah Diukir Mengarca Diri Di Samudera Kejelikan Suci
Demi Tugas Dan Tanggungajwab Setia Menyebati Atma
Dari Perlis Ke Sabah Sumpah Setia Bergema!

Kini Kekal Kegemilangan Bertakhta Di Tiara Unggul
Pucuk Hayatnya Mencecah Jagat Sukma Jaya
Penuh Kesetiaan Murni Sesuci Doa Pertiwi
Berdaulat Dan Berhikmah, Bermartabat Dan Beramanah.

Inilah Generasi Yang Menyerlahkan Bakti Luhur
Inilah Jua Pelapis Yang Menyerahkan Diri Sekujur
Berhujah Petah Dan Bergeliga, Bermadah Beradab Berbahasa
Demi Maruah Dan Darjat Bangsa Cendekia.

Inilah Barisan Peninggalan Pemugar Tamadun Bersusila
Memacu Ilmu Pusaka Takma Perpaduan Nusa
Melakar Amat Telus Mengabadi Dari Lubuk Nurani
Berpekerti Murni Demi Membenteng Kerakusan Nafsi.

Inilah Wira Dan Srikandi Yang Terang Hatinya Berfikiran Cerdas
Yang Kaya Ilmunya Berpengetahuan Luas
Yang Panjang Akalnya Berbicara Molek
Negeri Tercinta Dimakmurkan, Masyarakat Tersayang Dididik.
Keranamu Malaysia, Semerah Darah Nadi Ikrar Ini
Kami Hidup Sekali Biar Berjasa, Biar Berbudi!

Nukilan:

Mahaya Mohd Yassin
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Mengenangmu Pejuang | Sahrunizam Abdul Talib

0 komentar

MENGENANGMU PEJUANG
Sahrunizam Abdul Talib

Telah Kalian Terjemahkan Perjuangan Suci Itu
Menjadi Selaut Keringat Dan Setasik Darah
Tercatat Megah Jasanya Di Buku Sejarah
Walau Jasad Tersungkur Rebah Di Kaki Penjajah
Kalian Tetap Pejuang Kebanggaan Anak-Anak Merdeka
Kalian Tetap Pejuang Kebebasan Berhati Suci
Kebangsaan Seluruh Warga Pertiwi.

Bergetar Bibir Menyebut Namamu Pejuang
Baik Ternama Atau Pejuang Tanpa Nama
Kalian Datang Dan Pergi, Kembali Dan Hilang
Kalian Gadaikan Kepentingan Demi Iltizam Perjuangan
Kalian Humbangkan Igau Ketakutan Demi Azam Keyakinan
Perjuangan Harus Tabah Meredah Api
Perjuangan Harus Berani Menatang Matahari
Sentiasa Bijaksana Mencatur Segala Tindak
Sentiasa Berhikmah Sepanjang Hayat Mengatur Setiap Gerak.

Pejuang Yang Tidak Mencari Nama
Adalah Pejuang Gagah Yang Menghukum Durjana Penjajah
Mengusir Petualang Laknat Durjana Ke Jalan Pulang,
Pulang Mengusung Keranda Walang.

Meski Engkau Berkubur Tanpa Taburan Bunga Di Atas Pusara
Gugurmu Tanpa Kilauan Pingat Tersemat Di Dada
Tapi Tetap Kalian Dikenang Sejarah Bunga Bangsa
Sebagai Pejuang Terbilang Berhati Sekeras Waja
Kau Tidak Mudah Tergoda Umpan Yang Kilauan Di Mata
Tabah Mengawal Bicara Tidak Mementingkan Di Perut
Sahaja.

Kepadamu Pejuang Ternama Atau Tanpa Nama
Damailah Kalian Dalam Dakapan Rahmat Tuhan
Percayalah, Perjuangan Suci, Adalah Buahnya Ranum Di Syurga Abadi
Seluruh Ingatan Kekal Menyusur Perjalanan Zaman

Nukilan :

Sahrunizam Abdul Talib
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Nikmat Merdeka Sebuah negara | Shaari A.B

0 komentar

NIKMAT MERDEKA SEBUAH NEGARA
Shaari A.B

Begitu Nyaman Menghela Nafas Di Negara Bertuah
Kuntum Mewangi Pembangunan Berkembang Menghias Taman
Terpugar Kemajuan Meninggalkan Zaman Penjajah
Seluruh Desa Dan Kota Bertukar Wajah.

Malaysia Dalam Suratan Sejarah Pecah Perintah
Tunduk Menyembah Pantang Membantah Apa Diarah
Melawan Ke Pihak Benar Derhaka Terima Padah
Anak Kecil Disuntik Ketakutan Sejak Di buaian
Digambarkan Melayu Duduk Cari Kutu Sengaja Dilemah Layu
Jangan Gundah Ilmu Setakat Hanya Sekolah Rendah
Apabila Besar Panjang Hanya Bantu Bapa Di Sawah.

Mahkota Merdeka Ini Membawa Limpah Rahmat
Rancang Atur Pembangunan Membawa Matlamat
Ladang Minda Dibuka Merata Usaha, Terbina
Siang Dan Malam Dipupuk Semangat Juang
Menghimpun Cerdik Pandai Mengisi Pekerjaan,
Rezeki Bertambah Habuan Keluarga Tumpang Bahagia.

Bersyukur Kita Atas Nikmat Dikecapi
Akal Budi Meluas Laut Bicara
Jangan Disebut Pisang Berbuah Dua Kali
Jangan Lagi Mengkapan Jenazah Karung Guni
Jangan Ziarah Keluarga Secebis Kain Bertukar Ganti
Jangan Jelapang Padi Luas Bergilirkan Ubi

Bila Alu Dan Lesung Bertingkah Bunyi
Padi Tumpah, Ayam Bersoarak, Periuk Tidak Berisi
Tatang Dan Sayangilah Mahkota Merdeka Ini Sepenuh Erti
Hindarkan Dengki Ke Tepi, Untung Sama Berbahagi
Pada Seluruh Warga Bangsa Malaysia Tercinta
Wangikan Kuntum Perpaduan Ini Berkurun Harum.

Nukilan:

Shaari A.B
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Terima Kasih Pengalaman | Sholihin Osman

0 komentar

TERIMA KASIH PENGALAMAN
Sholihin Osman

Sembilan Belas Lima Puluh Tujuh Membuka Jendela
Menerpa Cahaya Ke Rumah Zaman Berwarna
Selamat Tinggal Kenangan Selamat Jalan Pengalaman
Musim Baru Citra Baru Dan Fikrah Baru
Kita Bina Kota Waktu Memecut Memintas Tamadun
Keruh Yang Ditampi Dan Kelabu Yang Disisir
Patinya Kita Hirup Dan Jamah
Meninggalkan Sejarah Yang Menduga Dan Luka.

Kelmarin Menjadi Bukti Kita Bangsa Berwibawa
Semalam Adalah Hakiki Kita Bangsa Yang Merdeka.

Ini Daerah Kita Ruang Bebas Yang Adicitra
Kita Melangkah Meniti Perjuangan
Di Kuala Pertemuan Antara Tiga Suara Yang Bersatu
Senyum Yang Digubah Bersama Sejambak Setia
Terbanglah Beburung Laut Menuju Ke Langit Purba
Langit Berkaca Melukis Bahagia Dari Syurga.

Berganti Generasi Kita Bentuk Jalan Ke Ufuk
Dari Jalan Berdebu Kepada Aspal Baldu
Dari Rumbia Dan Nipah Menjadi Genting Mesra
Dari Hujung Jari Terbit Hajat Dan Cita

Dari Utara Ke Selatan Hanya Sekelip Mata
Dari Mimpi Lama Berubah Realiti Semasa
Peta Sudah Bercahaya Melukis Sejahtera
Sejahtera Membuka Segala Imaginasi Dan Fakta
Fakta Lahir Dari Pemikiran Yang Merdeka.

Lihat Di Belakang Dirimu Ada Biru Membina
Pandanglah Di Atas Dirimu Ada Kuning Menerpa
Renungkanlah Di Dalam Dirimu Ada Putih Nirmala
Perhatikanlah Di Depan Dirimu Ada Merah Membara.

Di sini Tempat Kita Berdiri Tempat Kita Berlari
Menjunjung Kedaulatan Pertiwi Kebijaksanaan Perdana
Biar Putih Tulang Berselerak Malang Petaka Meneranjang
Bumi Tercinta Kita Pagarkan Kita Tadahkan
Dengan Setia Dan Wawasan
Perjuangan Anak Watan Kental Kentara Ke Akhir Zaman.

Nukilan:

Sholihin Osman
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Wednesday, March 26, 2014

Puisi dari Menara merdeka | Wali Leta S.A.

1 komentar

DARI MENARA MERDEKA
Wali Leta S.A.

Dari Menara Merdeka Kulihat Cahaya Bersinar Gemerlapan
Mengindah-Pesonakan Panorama Pembangunan Di Tanah Warisan
Pembangunan Industri Melonkakkan Indeks Ekonomi Mapan
Pembangunan Teknologi Tinggi Meningkatkan Pencapaian Cemerlang
Pembangunan Ilmu Menggilap Sahsiah
Kebestarian Insan
Menjana Perkembangan Ketamadunan Bangsa Dari Generasi Ilmuwan
Menjadi Pemangkin Kepada Kedaulatan
Yang Dilagumerdukan.

Dari Medara Merdeka Kulihat Bunga-Bunga Impian Sedang Berkembang
Menyegar-Semerbakkan Nafas Perjuangan Di Dada Warga Harapan
Perjuangan Murni Membentuk Lembut Luhur Budi Bahasa
Perjuangan Mulia Melentur Jujur Pekerti Bangsa
Perjuangan Suci Memulihara Keutuhan Akhlak Dan Agama
Demi Masa Depan, Mari Kita Mempertaruhkan Segala Dengan Waras Akal
Agar Setiap Kegemilangan Menjadi Milik Yang Kekal.

Dari Menara Merdeka Kulihat Warga Harapan
Sedang Bergandingan
Mengembleng-Eratkan Perpaduan Dan Rasa Kemanusiaan Yang Terbilang
Rasa Kemanusiaan Dalam Menghayati Penderitaan Alam
Rasa Kemanusiaan Dalam Menangani Bencana Zaman
Rasa Kemanusiaan Dalam Membendung Keganasan
Yang Kejam
Biar Jasa Dan Bakti Mengungguli Kehidupan
Supaya Maruah Dan Martabat Bangsa Tinggi Menjulang.

Dari Menara Merdeka Kulihat Lorong Dan Jalan Cerah Benderang
Melincah-Luaskan Gerak Langkah Menjejak Puncak Wawasan
Langkah Berhemah Mengelak Kaca Menghindari Kelukaan
Langkah Berhikmah Menapak Bijak Tiada Keresahan
Langkah Bertauliah Sedia Bertarung Disetiap Gelanggang
Cekal Menghadapi Kerenah Globalisasi Di Alaf Cabaran
Agar Peta Perdana Akan Diwarna-Serikan Dengan Tinta Kehormatan

Nukilan:
Wali Leta S.A.
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Di Sini Setia terukir | Ghazali Lateh

0 komentar

DI SINI SETIA TERUKIR
Ghazali Lateh

Ini Tanah Air, Tempat Bermula Dan Berakhir,
Cinta Pertama, Di Sini Setia Terukir.

Kita Telusuri Batas Sejarah Ke Musim Suram Terjajah,
Menguak Hitam Belenggu Dalam Murup Durja Yang Gundah,
Saat Melangkah Runduk Di Bawah Serakah Telunjuk,
Suara Pun Hilang Terpanar Di Tengah Sorak Petualang.

Di Denai Waktu Membiak Tunas Insaf Seluruh Warga,
Musibah Lalu Jangan Lagi Meragut Sejahtera Wangsa,
Bumi Ini Tanah Air Pesaka Warisan Pejuang,
Titisan Darah, Keringat Basah Dan Semangat Menjulang.

Malaysiaku Mewangi Setanggi Seribu Aroma Narwastu
Melimpah Sejuta Anugerah Dari Rahmat Teguh Bersatu,
Menjulang Wawasan Gemilang Ke Puncak Persada Mercu Biru,
Membias Bayu Kecundang Jelmaan Cemburu Sejuta Seteru.

Alaf Ini Tempoh Memacu Samara Cintakan Bumi Pertiwi,
Membilas Noda Hitam Dari Kemelut Sengketa Selisih Semalam,
Memesra Anggun, Menghijau Santun, Muhibah Rimbun
Ini Negeri Terbaik, Budaya Tercantik, Rakyat Terdidik,
Mengorak Langkah, Berpangsi Arah Menancap Monumen Terindah.

Sambutlah Gemersik Suara Nafiri Seruan Perjuangan,
Cokmar Kebebasan Biar Lestari Kukuh Dalam Genggaman,
Tanah Ini Milik Hakiki Zaman Berzaman,
Jangan Sampai Berulang Lagi Nista Kehinaan.

Ini Tanah Kita, Padang Permainan Seluruh Anak Bangsa,
Ini Jiwa Kita, Nafas Kita, Roh Generasi Merdeka,
Nusa Ini Maruah Kita, Citra Kita, Martabat Daulat Perkasa,
Wilayah Ini Wacana Hitam Putih Wadah Pemangkin Wibawa.

Ini Tanah Air, Tempat Bermula Dan Berakhir,
Di Sini Setia Terukir, Cinta Pertama Dan Terakhir,
Biar Luluh Jiwa Raga, Darah Setiaku Tetap Mengalir
Biar Nyawa Luluh Tercicir, Janji Ini Tidak Termungkir.

Nukilan:
Ghazali Lateh
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Kitalah Warga Merdeka yang Mengerti | Amy Suzani Mohd Ainuddin

0 komentar

KITALAH WARGA MERDEKA YANG MENGERTI
Amy Suzani Mohd Ainuddin

Hari-Hari Derita Yang Lalu Kita Untaikan
Jadikan Tasbih Kita Zikiri Setiap Nikmat
Telah Kita Peras Kepedihan Seluruh Masa Silam
Dan Kini Kita Baurkan Dengan Tetes Pengalaman
Di Padang Insaf Tempat Kita Mengecap Bahagia.

Untuk Menjalin Padu Tanpa Iri Cemburu
Saling Berkongsi Subur Bumi Redup Langit
Bersama Merasa Indahnya Anugerah Kemakmuran
Hamparan Taftah Berpinar Emas
Kita Bersenandung Dilatari Intrumentalia
Cinta Dalam Nada Sejahtera.

Kitalah Kini Warga Merdeka Yang Mengerti
Tidak Mungkin Lagi Banjaran Silam
Mengundang Musuh Mendaki Puncak Melontar Sengsara
Kita Pernah Bangkit Dan Jatuh Yang Sakit
Memperbaharui Ehwal Silam,
Menguburkan Dendam Warisan
Menjadi Anggun Wawasan.

Kitalah Kini Warga Merdeka Yang Mengerti
Mendendang Kasidah Kasih Gema Penuh Keramat
Tidak Akan Kita Biarkan Lelehan Sengketa Menjadi Golakan
Lava Berapi
Amarah Mencairkan Setiakasih Kepada Nusa
Biar Elat Khabar Pendusta Mengutus Bencana
Biar Desis Angin Petaka Membisik Bahaya
Kita Tetap Gagah Sebagai Pendekar Bestari
Berkeriskan Minda Berperisaikan Agama
Budaya Warisan Pertiwi.

Kitalah Warga Merdeka Yang Mengerti
Cabaran Dan Perjuangan Adalah Rakan Pengalaman
Dan Kita Harus Jadi Warga Paling Perkasa
Mencerahkan Indera Seluruh Jagat Raya
Walaupun Kita Cuma Kecil Di Peta Dunia
Tetapi Agung Pada Pandangan Buana.

Nukilan :
Amy Suzani Mohd Ainuddin
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Puisi Ceritera pohon Bangsa | Ahmad Shukri Abdullah

0 komentar

CERITERA POHON BANGSA
Ahmad Shukri Abdullah

Kekar Berpaut Pada Akar Asal Budaya
Pasak Kukuh Di Bumi Merdeka.

Benihnya Disemai Tangan Warga
Tidak Kenal Makna Gentar Dan Gerak Para Durja
Tanahnya Digembur Baja Pusaka
Disiram Keringat Dan Darah Pejuang
Tidak Kenal Makna Tewas Dan Tunduk Mengalah
Biar Diserbu Seribu Musuh
Atau Sesiapa Sahaja Yang Bernama Penjajah.

Akar Harus Tegar Menunjangi Bumi
Bumi Harus Makmur Menyuburi Pohon
Pohon Harus Rimun Menangi Nusa
-Jika Pohon Ini Subur Mahsulnya
Biarlah Mampu Menyambung Hayat Pengembara
Yang Singgah Di Bawah Keteduhannya.

Kejap Kukuh Pencak Bersulam Keberanian
Siaga Segala Tipu Muslihat Di Gelanggang Persabungan
-Di sini Pertarungan Bukan Beradu Kudrat Kekuatan
Tetapi Menguji Bijaksana Dan Ampuh Keimanan.

Jangan Biarkan Pohon Bangsa Dimamah Kemajuan
Sehingga Dahannya Rapuh Dipatah Kealpaan
Akar Budayanya Berselirat Membelenggu Ketamadunan
Akhirnya Subur Bumi Akan Kembali Gersang
Kontang Dibakar Marak Api Kepalsuan.

Kembalikanlah Tunjang Ampuh Keyakinan
Susurgalurkan Akar Budaya Mencengkam Bumi Pusaka
Agar Pohon Bangsa Tetap Teguh Menentang Musuh
Sepadu Melaungkan Tekad Dan Keazaman
Demi Pertahankan Mutlak Hak Dan Ketuanan

Demikianlah Mahlnya Harga Pengorbanan
Kendatipun Nyawa Galang Gentian
Disini Pohon Tetap Agam
Menyambut Cabaran Zaman.

Nukilan :
Ahmad Shukri Abdullah
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Kemerdekan JAMUNG MERDEKA
Malaysia


Tuesday, June 26, 2012

Puisi Seiris Simpati | Abdullah Tahir

0 komentar


Seiris Simpati
Abdullah Tahir

tak 'kan terbina sebuah bahagia
di atas hamparan pasir
yang berderai dan gersang
selagi ombak ganas terus mencumbu pantai
selagi hangatnya mentari membakar pasir
bersama gilisan deru angin
membias setiap butir pasir kering
bagaikan tentera-tentera patuh
membidik peluru buta ke tiap penjuru
bersalutkan nafsu amarah yang derita
andaipun bening malam menghidu niat
akan terlahirkah keindahan pada sebuah tangis
yang membendung harap
sedang suamnya airmata terus simbah
menyalin ruang sabar yang sarat dengan doa
pintanya lahirlah cinta walau seiris simpati
menghapus derita para warga
yang wajahnya setia
mengusung nafas
ke hujung hayat

sumber : www.serumpunmembaitpuisi.blogspot.com

Thursday, May 19, 2011

Sajak Jenaka Politik | Sajak Lucu Tentang Politik

0 komentar

JENAKA POLITIK
Abdul Latip Talib

Politik itu maknanya siasah
bertujuan untuk jadi pemerintah
bukan untuk menjajah
bukan untuk berpecah belah.

Politik itu sangat mudah
Kalau cuma hendak memangkah
politik itu jadi susah
Kalau masing-masing hendak memerintah.

Orang politik bermacam kisah
ada kena sanjung ada kena ludah
ada skandal sudah terdedah
banyak rahsia yang belum pecah.

Orang politik nampak gagah
kerana mereka tak mahu kalah
ada yang amalkan manisan lebah
ada yang amalkan kacip siti fatimah.

Ada pula yang serba salah
tahun 2005 menjelang sudah
janji dibuat mesti serah
Ada yang kata alhamdulillah

Nak menang pilihan raya bukannya mudah
Kena jaga hati rakyat di bawah
ampu sana ampu sini kata sedekah
Tapi rupanya suruh pangkah.

Abdullatip
Jelebu

Sajak Jenaka Malam Pengantin

0 komentar

JENAKA MALAM PENGANTIN
Abdul Latip Talib

Majlis pernikahan dah selesai
tetamu sudah balik si ayah mengelamun sendiri.

Di kamar pengantin kedua mempelai asyik membelek hadiah-hadiah
si ayah pasang telinga mendengar perbualan.

Kedua pengantin sedang membelek sepasang kasut
hadiah dari tetamu yang datang.

" Nak cuba pakai malam ni , bang." pengantin perempuan bersuara
berdebar dada si ayah mendengarnya.
" Boleh saja biar abang masukkan?"
Pengantin lelaki menyarung kasut di kaki isterinya.

"Tak muat bang, sempit oh sakitnya." Ternyata kasut bukan saisnya.
"Kalau Tak muat nak buat camana?" Pengantin lelaki gundah suaranya.

" Sapu air liur…!" Si ayah bersuara
Ketawa pengantin berjela-jela.
Ternyata si ayah silap sangka.

Abdullatip
Jelebu

Sajak Orang Asli Yang Cerdik | Abdul Latip Talib

0 komentar

ORANG ASLI YANG CERDIK
Abdul Latip Talib

Sepasukan anggota polis sedang buat sekatan jalan raya
lalu orang asli membonceng motor membawa isteri dan anak-anaknya
"Awak dari mana?" tanya polis
"Dari belakang ke depan,tuan" jawab orang asli.
" Saya tanya yang betul!" kata anggota polis
" Saya jawab yang betul." jawab orang asli

" Kenapa tak pasang lampu motor?" tanya polis
"Orang gila saja pasang lampu waktu siang." jawab orang asli

" Awak salah!" anggota polis itu marah.
" Motor eden punya, anak eden punya,
bini eden punya, kenapa pulak salah?"balasnya.

" Awak tak takut masuk lokap?" gertak anggota polis
" Makan free, minum free, rumah free apo eden nak takut," balas orang asli.
Anggota polis geleng kepala.

Abdullatip
Jelebu

Wednesday, May 18, 2011

Puisi Barangkali Fitnah | Puisi Tentang Fitnah

0 komentar

BARANGKALI FITNAH
Abdul Latip Talib

Fitnah lebih kejam dari membunuh Surah al Baqarah ayat 191

Barangkali manusia dijadikan pelik
Suka menabur fitnah
barangkali mereka rasa seronok
dapat melampias dendam kesumat
Barangkali semua dah tahu
Fitnah memutus tali sahabat
hilang keyakinan musnah kasih sayang

Barangkali elok di riwayatkan
Kerana fitnah Nabi Yusof dipenjara
Kerana fitnah Tuah dan Jebat sengketa
Kerana fitnah budak pintar di bunuh raja
Kerana fitnah Sang Rajuna Tapa derhaka
Kerana fitnah Mahsuri di sula
Kerana fitnah idola di penjara

Barangkali fitnah ada di mata kita
Barangkali fitnah ada di rumah kita
Barangkali selepas ini
entah giliran siapa jadi mangsa.

AbdullatipJelebu 6.2.2004

Puisi Aku dan Cinta | Abdul Latip Talib

0 komentar

AKU DAN CINTA
Abdul Latip Talib

Tuhanku
aku ingin tersenyum
dalam mahligai syahdu
meski pun dalam angan-angan
semoga bahagia membalut jiwa ini
Yang hanya milik-Mu

Tuhanku
cinta itu tertanam di hati
halus bagai benang sutera
lembut bagai sentuhan sayap kupu-kupu
jangan biarkan aku menangis sendirian
Temani aku dengan ribuan mawar merah
aku ingin menari dan menyanyi
bersama tiupan angin syurga.

Tuhanku
Kutitipkan segumpal rindu ini di puncak salju
semoga matahariMU terus bersinar
dalam irama yang lembut
aku sujud di hadapan-Mu
Semoga bahagia ini miliku
Yang abadi.

Jelebu, 23.9.2003

Puisi Cinta Allah | Izinkan Aku Mencintaimu Semampuku

0 komentar

IZINKAN AKU MENCINTAIMU SEMAMPUKU
Abdul Latip Talib

Tuhanku
aku mula belajar mencintaiMu sejak kecilku
melalui asuhan ayah dan ibu
melalui madah Tuan Guru
lembaran wahyuMU kupelajari
sabda nabiMU kuhayati
masih terpahat dalam ingatan.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU seperi Saidina Abu Bakar
Sanggup menyerahkan seluruh hartanya
atau seperti Saidina Omar
Yang menyerahkan separuh hartanya
demi mencari keredhaanMU
izinkan aku mencintaiMu
melalui amalku yang singkat
dan sedekahku yang sedikit.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU
melalui solat yang kusyuk
Seperti Saidina Ali
Tidak Berasa sakit
walau panah menembusi kaki
zinkan aku mencintaiMU
melalui solat yang kulakukan dalam waktu yang terbatas

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU
dengan mencintai isteri dan anak-anakku
saudara-saudaraku
sahabat-sahabatku
dan orang-orang alim di kalangan kami.

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU semampuku
betapa kerdilnya diri inI
di sisi kebesaranMU.

Jelebu, 8.9.2003

Tuesday, May 17, 2011

Puisi Selamat Hari Jadi, Isteriku | Abdul Latip Talib

0 komentar

SELAMAT HARI JADI, ISTERIKU
Abdul Latip Talib

Selamat hari jadi, isteriku
kuucap terima kasih
Kerana engkau setia di sampingku
tidak pernah berkata jemu
engkau berkhidmat penuh kerelaan
tanpa menuntut bayaran.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela aku jadi suamimu
tidak pernah menyesal
sanggup melahir zuriatku
dan berjaya mengasuh mereka.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana sanggup berkongsi suka duka
dan membuat aku merasa bahagia
takdir menemukan kita
engkau satu dalam sejuta
aku berteduh di bawah pohon kasihmu.

Selamat hari Jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela
menjadi tua bersamaku.

3.8.2003

Puisi Religi Islami | Tasbih

0 komentar

TASBIH
Abdul Latip Talib

Ketika bertemu seorang sahabat
baru pulang dari tanah suci
aku dihadiah sekalung tasbih
harganya tak seberapa
tapi nilainya amat tinggi.

Setiap pagi, petang dan malam
Kuhitung biji-biji tasbih
Ia bukan sekadar hitungan biasa
ada kesedaran dan keinsafan
Pasrah dan keyakinan
Pada-Mu, Tuhan.

kupetik biji-biji tasbih
kuseru nama-MU
ruang hatiku terbuka luas
Dikau sentiasa dalam mindaku
memerhati penuh kasih sayang

setiap malam
Kudengar biji-biji tasbih berbisik
kamilah penghubung
antara kasih dengan benci
antara engkau dengan Yang Esa
antara Syurga dengan Neraka.

1hb July 2003

Puisi Pesan Buat Suami | Abdul Latif Talib

0 komentar

PESAN BUAT SUAMI
Abdul Latip Talib

Wahai suami bergelar ayah
lindungi zuriatmu dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalannya
jangan hamburkan kata-kata nista
Kerana kata-katamu adalah doa
yang tiada hijabnya.

Wahai suami penyambung zuriat
berilah perhatian kepada kaum kerabat
eratkan silaturrahim
bantu yang memerlukan
ziarah yang mendapat kemalangan.

Wahai suami pemegang amanah
hormatilah isterimu
Jangan pandang seperti lalat
berilah perhatian, sentuhan dan kasih sayang
Jika ada salah silapnya
Jangan sakiti hatinya
Fikir cara terbaik membentuknya.

Wahai suami pelindung kasih
cintailah isterimu sepenuh hati
dialah ibu kepada anak-anak
Penjaga harta dan rumah tangga
teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka.

Wahai suami tonggak keluarga
Bersoleklah untuk isteri
Sucikan diri dan hati
merdukan suara
dengan madah dan seloka
Ulangi yang isterimu suka
jangan remehkan keinginannya

Jangan butakan hatimu
pada kecantikannya
pada pengorbanannya
setialah pada kalimat
"Kau adalah isteriku".

15.06.03

 

kumpulan karya Puisi | Copyright 2010 - 2016 Kumpulan Karya Puisi |