Showing posts with label Abdul Latip Talib. Show all posts
Showing posts with label Abdul Latip Talib. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Sajak Jenaka Politik | Sajak Lucu Tentang Politik

0 komentar

JENAKA POLITIK
Abdul Latip Talib

Politik itu maknanya siasah
bertujuan untuk jadi pemerintah
bukan untuk menjajah
bukan untuk berpecah belah.

Politik itu sangat mudah
Kalau cuma hendak memangkah
politik itu jadi susah
Kalau masing-masing hendak memerintah.

Orang politik bermacam kisah
ada kena sanjung ada kena ludah
ada skandal sudah terdedah
banyak rahsia yang belum pecah.

Orang politik nampak gagah
kerana mereka tak mahu kalah
ada yang amalkan manisan lebah
ada yang amalkan kacip siti fatimah.

Ada pula yang serba salah
tahun 2005 menjelang sudah
janji dibuat mesti serah
Ada yang kata alhamdulillah

Nak menang pilihan raya bukannya mudah
Kena jaga hati rakyat di bawah
ampu sana ampu sini kata sedekah
Tapi rupanya suruh pangkah.

Abdullatip
Jelebu

Sajak Jenaka Malam Pengantin

0 komentar

JENAKA MALAM PENGANTIN
Abdul Latip Talib

Majlis pernikahan dah selesai
tetamu sudah balik si ayah mengelamun sendiri.

Di kamar pengantin kedua mempelai asyik membelek hadiah-hadiah
si ayah pasang telinga mendengar perbualan.

Kedua pengantin sedang membelek sepasang kasut
hadiah dari tetamu yang datang.

" Nak cuba pakai malam ni , bang." pengantin perempuan bersuara
berdebar dada si ayah mendengarnya.
" Boleh saja biar abang masukkan?"
Pengantin lelaki menyarung kasut di kaki isterinya.

"Tak muat bang, sempit oh sakitnya." Ternyata kasut bukan saisnya.
"Kalau Tak muat nak buat camana?" Pengantin lelaki gundah suaranya.

" Sapu air liur…!" Si ayah bersuara
Ketawa pengantin berjela-jela.
Ternyata si ayah silap sangka.

Abdullatip
Jelebu

Sajak Orang Asli Yang Cerdik | Abdul Latip Talib

0 komentar

ORANG ASLI YANG CERDIK
Abdul Latip Talib

Sepasukan anggota polis sedang buat sekatan jalan raya
lalu orang asli membonceng motor membawa isteri dan anak-anaknya
"Awak dari mana?" tanya polis
"Dari belakang ke depan,tuan" jawab orang asli.
" Saya tanya yang betul!" kata anggota polis
" Saya jawab yang betul." jawab orang asli

" Kenapa tak pasang lampu motor?" tanya polis
"Orang gila saja pasang lampu waktu siang." jawab orang asli

" Awak salah!" anggota polis itu marah.
" Motor eden punya, anak eden punya,
bini eden punya, kenapa pulak salah?"balasnya.

" Awak tak takut masuk lokap?" gertak anggota polis
" Makan free, minum free, rumah free apo eden nak takut," balas orang asli.
Anggota polis geleng kepala.

Abdullatip
Jelebu

Wednesday, May 18, 2011

Puisi Barangkali Fitnah | Puisi Tentang Fitnah

0 komentar

BARANGKALI FITNAH
Abdul Latip Talib

Fitnah lebih kejam dari membunuh Surah al Baqarah ayat 191

Barangkali manusia dijadikan pelik
Suka menabur fitnah
barangkali mereka rasa seronok
dapat melampias dendam kesumat
Barangkali semua dah tahu
Fitnah memutus tali sahabat
hilang keyakinan musnah kasih sayang

Barangkali elok di riwayatkan
Kerana fitnah Nabi Yusof dipenjara
Kerana fitnah Tuah dan Jebat sengketa
Kerana fitnah budak pintar di bunuh raja
Kerana fitnah Sang Rajuna Tapa derhaka
Kerana fitnah Mahsuri di sula
Kerana fitnah idola di penjara

Barangkali fitnah ada di mata kita
Barangkali fitnah ada di rumah kita
Barangkali selepas ini
entah giliran siapa jadi mangsa.

AbdullatipJelebu 6.2.2004

Puisi Aku dan Cinta | Abdul Latip Talib

0 komentar

AKU DAN CINTA
Abdul Latip Talib

Tuhanku
aku ingin tersenyum
dalam mahligai syahdu
meski pun dalam angan-angan
semoga bahagia membalut jiwa ini
Yang hanya milik-Mu

Tuhanku
cinta itu tertanam di hati
halus bagai benang sutera
lembut bagai sentuhan sayap kupu-kupu
jangan biarkan aku menangis sendirian
Temani aku dengan ribuan mawar merah
aku ingin menari dan menyanyi
bersama tiupan angin syurga.

Tuhanku
Kutitipkan segumpal rindu ini di puncak salju
semoga matahariMU terus bersinar
dalam irama yang lembut
aku sujud di hadapan-Mu
Semoga bahagia ini miliku
Yang abadi.

Jelebu, 23.9.2003

Puisi Cinta Allah | Izinkan Aku Mencintaimu Semampuku

0 komentar

IZINKAN AKU MENCINTAIMU SEMAMPUKU
Abdul Latip Talib

Tuhanku
aku mula belajar mencintaiMu sejak kecilku
melalui asuhan ayah dan ibu
melalui madah Tuan Guru
lembaran wahyuMU kupelajari
sabda nabiMU kuhayati
masih terpahat dalam ingatan.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU seperi Saidina Abu Bakar
Sanggup menyerahkan seluruh hartanya
atau seperti Saidina Omar
Yang menyerahkan separuh hartanya
demi mencari keredhaanMU
izinkan aku mencintaiMu
melalui amalku yang singkat
dan sedekahku yang sedikit.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU
melalui solat yang kusyuk
Seperti Saidina Ali
Tidak Berasa sakit
walau panah menembusi kaki
zinkan aku mencintaiMU
melalui solat yang kulakukan dalam waktu yang terbatas

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU
dengan mencintai isteri dan anak-anakku
saudara-saudaraku
sahabat-sahabatku
dan orang-orang alim di kalangan kami.

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU semampuku
betapa kerdilnya diri inI
di sisi kebesaranMU.

Jelebu, 8.9.2003

Tuesday, May 17, 2011

Puisi Selamat Hari Jadi, Isteriku | Abdul Latip Talib

0 komentar

SELAMAT HARI JADI, ISTERIKU
Abdul Latip Talib

Selamat hari jadi, isteriku
kuucap terima kasih
Kerana engkau setia di sampingku
tidak pernah berkata jemu
engkau berkhidmat penuh kerelaan
tanpa menuntut bayaran.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela aku jadi suamimu
tidak pernah menyesal
sanggup melahir zuriatku
dan berjaya mengasuh mereka.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana sanggup berkongsi suka duka
dan membuat aku merasa bahagia
takdir menemukan kita
engkau satu dalam sejuta
aku berteduh di bawah pohon kasihmu.

Selamat hari Jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela
menjadi tua bersamaku.

3.8.2003

Puisi Religi Islami | Tasbih

0 komentar

TASBIH
Abdul Latip Talib

Ketika bertemu seorang sahabat
baru pulang dari tanah suci
aku dihadiah sekalung tasbih
harganya tak seberapa
tapi nilainya amat tinggi.

Setiap pagi, petang dan malam
Kuhitung biji-biji tasbih
Ia bukan sekadar hitungan biasa
ada kesedaran dan keinsafan
Pasrah dan keyakinan
Pada-Mu, Tuhan.

kupetik biji-biji tasbih
kuseru nama-MU
ruang hatiku terbuka luas
Dikau sentiasa dalam mindaku
memerhati penuh kasih sayang

setiap malam
Kudengar biji-biji tasbih berbisik
kamilah penghubung
antara kasih dengan benci
antara engkau dengan Yang Esa
antara Syurga dengan Neraka.

1hb July 2003

Puisi Pesan Buat Suami | Abdul Latif Talib

0 komentar

PESAN BUAT SUAMI
Abdul Latip Talib

Wahai suami bergelar ayah
lindungi zuriatmu dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalannya
jangan hamburkan kata-kata nista
Kerana kata-katamu adalah doa
yang tiada hijabnya.

Wahai suami penyambung zuriat
berilah perhatian kepada kaum kerabat
eratkan silaturrahim
bantu yang memerlukan
ziarah yang mendapat kemalangan.

Wahai suami pemegang amanah
hormatilah isterimu
Jangan pandang seperti lalat
berilah perhatian, sentuhan dan kasih sayang
Jika ada salah silapnya
Jangan sakiti hatinya
Fikir cara terbaik membentuknya.

Wahai suami pelindung kasih
cintailah isterimu sepenuh hati
dialah ibu kepada anak-anak
Penjaga harta dan rumah tangga
teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka.

Wahai suami tonggak keluarga
Bersoleklah untuk isteri
Sucikan diri dan hati
merdukan suara
dengan madah dan seloka
Ulangi yang isterimu suka
jangan remehkan keinginannya

Jangan butakan hatimu
pada kecantikannya
pada pengorbanannya
setialah pada kalimat
"Kau adalah isteriku".

15.06.03

Puisi Dirgahayu Buat Ayah | Abdul Latip Talib

0 komentar

DIRGAHAYU BUAT AYAH
Abdul Latip Talib

Ayah Mahkota kasihmu
kutatap dan kudakap
Puing-puing rindu menyepuh istana hati
alangkah sepinya Pulau Pandan
betapa jauhnya Laut Oman
hari ini kukalung doa
berbahagialah ayah.

Ayah
Jasamu terpahat di mana-mana
nasihatmu tersimpan kukuh di hati
Semangatmu mengental di sanubari
dengan keringat dan air matamu
akar budaya diri ini kukuh
seperti tertegaknya keraton jawa.

Ayah
Istana bahagia ini ayah bina
bersama warna warni kehidupan
bersama rentetan kesengsaraan
semangat dan pengorbanan ini
menjadi nafas kedaulatan keluarga

dan hari ini
teratai berkembang mekar
disinari mentari pagi
dirgahayu buatmu, ayah.

Jelebu N.S 15.06.03

Biografi Abdul Latip Talib

0 komentar

Biografi Abdul Latip Talib


Abdul Latip bin Talib dilahirkan di Kampung Ulu Seperi Rembau Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954, pernah bekerja sebagai pegawai ladang FELCRA selama 20 tahun dan kini merupakan penulis sepenuh masa. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, rencana, drama tv dan novel. Sehingga kini telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kini menumpukan penulisan novel sejarah dengan PTS. Antara karya yang telah diterbitkan Salahudin Penakluk Jerusalem 2007, Khalid Memburu Syahid 2007, Ikramah Penentang Jadi Pembela 2007, Tariq Menang atau Syahid 2007, Si Bongkok Tanjung Puteri 2007, Setelah Roboh Kota Melaka 2007, Abu Bakar Sahabat Sejati 2008, Sultan Muhamad al fateh 2008, Leftenan Adnan Wira bangsa 2008, Hikayat Amir Hamzah jilid 1, 2 dan 3 2008.Ketekalan beliau menghasilkan karya telah melayakkan beberapa buah karya beliau merangkul pelbagai anugerah. Antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan. Novel Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Randau Ruai memenangi Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005 dan terbaru novel sejarah Perang Jementah dan datuk Moyang Saleh memenangi hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007.Abdul Latip yang kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan pernah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dalam genre cerpen dan esei. Dan sekali lagi pada tahun 2007 dalam genre novel remaja.Beliau dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007

 

kumpulan karya Puisi | Copyright 2010 - 2016 Kumpulan Karya Puisi |